SHAH ALAM, 16 Ogos- Polis menafikan berlaku kehilangan dokumen atau barang milik Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar seperti yang ditularkan di media sosial.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan daripada keluarga Muhammad Nidza Afham berhubung perkara berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak betul serta tidak dipastikan kesahihannya.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati mengeluarkan sebarang spekulasi atau komen secara melampau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Polis mengklasifikasikan kematian penyanyi dan pempengaruh berusia 23 tahun itu yang mayatnya ditemukan di Sungai Klang sebagai mati mengejut (SDR).
Hasil awal bedah siasat ke atas mayat Nidza Afham mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal. Punca kematian belum dapat dipastikan. Polis masih menunggu laporan siasatan analisa makmal.
BERITA BERKAITAN