fb fb fb fb fb

575 bubu naga dirampas

Foto RTM

ALOR SETAR, 17 Ogos-Jabatan Perikanan Negeri Kedah merampas 575 unit bubu naga bersama-sama dua buah bot bernilai kira-kira RM137,000

Ia hasil operasi bagi membendung aktiviti penangkapan ikan larangan yang membabitkan penggunaan bubu naga.

Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Pang Anak Nyukang berkata, operasi dijalankan selama lima hari melibatkan tiga buah bot jabatan dan 19 anggota daripada Cawangan Koservasi dan Perlindungan Perikanan (CKOPP) Kedah tertumpu di sekitar kawasan perairan Kuala Sala.

Pang berkata, ketika operasi,terdapat bot nelayan yang cuba melarikan diri, namun berjaya dikejar dan ditahan.

“Bot dan peralatan menangkap ikan tersebut dirampas dan disita untuk siasatan lanjut.

"Amaran keras turut diberikan kepada para nelayan yang masih berdegil menggunakan peralatan bubu naga ini", katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Pang, penggunaan bubu naga merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) (Pindaan) 2024 Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah Pang, sifat tamak haloba menjarah hasil laut perlu dihentikan kerana peralatan bubu naga ini akan memerangkap segala macam benih ikan dan hidupan marin hingga mengancam ekosistem laut.

“Ia sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan pantai,”katanya dalam kenyataan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD