fb fb fb fb fb

Tukang tilik nasib ditahan disyaki terlibat kes rogol

Seorang tukang tilik ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes rogol seorang wanita yang datang mendapatkan khidmat menilik dan membuang nasib buruk di Puchong / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Ogos - Seorang tukang tilik ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes rogol seorang wanita yang datang mendapatkan khidmat menilik dan membuang nasib buruk di Puchong.

Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata laporan sebelum itu dibuat mangsa awal pagi Jumaat kira-kira pukul 1.54 pagi yang mendakwa dirinya dirogol suspek.

"Siasatan awal polis mendapati, wanita warga tempatan itu mengenali suspek melalui media sosial.

“Bertindak atas laporan pengadu, pada Jumaat lebih kurang pukul 11.15 malam, sepasukan anggota polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang suspek lelaki warga tempatan di Puchong,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, suspek berusia lingkungan 34 tahun itu kini direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 21 Ogos depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan jenayah rogol dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan sebatan.

"Polis menasihatkan orang awam untuk tidak menimbulkan apa-apa spekulasi serta tidak berkongsi berita yang tidak benar berkenaan kejadian tersebut," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN