KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Mayat seorang lelaki ditemukan terapung berhampiran jambatan Sungai Klang, petang tadi disahkan adalah Nidza Afham Mokhtar.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penemuan mayat lelaki itu kira-kira 7.30 petang tadi.
"Ya. Dipercayai adalah penyanyi yang dilaporkan hilang semalam.
"Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Klang untuk bedah siasat dan pengecaman oleh waris," katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Terdahulu, media melaporkan mayat lelaki berkenaan ditemukan terapung berhampiran jambatan Sungai Klang memakai pakaian berwarna gelap bernombor 56.
Nidza Afham, 23 tahun dikatakan keluar berjogging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri sebelum kehilangan disedari kira-kira pukul 9 malam semalam.
Sebelum itu, polis mengesahkan menerima laporan kehilangan penyanyi itu yang keluar rumah pada 7.45 petang Selasa.
Lokasi terakhir Nidza Afham dikesan berada di Jambatan Kota, yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Nidza Afham, yang pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.