BALIK PULAU, 8 Oktober - Seorang lelaki yang didakwa cuba membunuh isterinya, tidak hadir ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini kerana masih menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.
Tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, yang bekerja sebagai guru, dilaporkan masih berada di hospital bagi tujuan pemerhatian kesihatan mental.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani, ketika sebutan kes dan penyerahan laporan psikiatri di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Menurut Lushani, pihak hospital masih belum mengemukakan laporan penuh berkaitan tahap kesihatan mental tertuduh dan memohon tarikh baharu bagi sebutan semula kes serta kehadiran orang kena tuduh (OKT).
Peguam bela tertuduh, Yazid Khairul Azman, turut mengesahkan anak guamnya tidak dibawa ke mahkamah kerana masih menjalani rawatan di hospital berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 November depan untuk sebutan semula kes serta penyerahan laporan psikiatri dan kehadiran OKT.
Pada September lalu, seorang guru didakwa atas cubaan membunuh isterinya menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira pukul 5.45 pagi pada 27 Ogos lalu.
Bagaimanapun, tertuduh diperintahkan dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan mental oleh Mahkamah Sesyen Balik Pulau.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.