fb fb fb fb fb

Tertembak kepala sendiri, anggota polis cedera parah

Gambar hiasan

GEORGE TOWN, 8 April – Seorang anggota polis cedera parah dipercayai tertembak kepala dirinya sendiri di IPK Pulau Pinang, di sini kira-kira pukul 6.12 petang tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad memaklumkan anggota polis lelaki berusia 58 tahun bertugas di cawangan kem komandan dijumpai dalam keadaan parah.

"Hasil siasatan awal mendapati satu das tembakan telah dilepaskan ke bahagian kepala menggunakan sepucuk pistol.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut beliau, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Hamzah meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga boleh mengganggu siasatan pihak polis.

GRACE AISYAH KEDAYAN