PETALING JAYA, 8 April - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa kematian kanak-kanak autistik Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin bukan kematian biasa sebaliknya dikategorikan sebagai mencurigakan atau pembunuhan sehingga dibuktikan sebaliknya (homicide until proven otherwise).
Pakar perubatan perunding forensik Dr Rohayu Shahar Adnan, 54, yang bertugas di Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang, Johor berkata sebelum melakukan bedah siasat terhadap Zayn Rayyan pada 12 tengah hari, 7 Dis 2023, beliau bersama pegawai perubatannya membuat lawatan ke lokasi kejadian kanak-kanak itu ditemukan iaitu di aliran anak sungai berhampiran kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai.
"Pegawai penyiasat ketika itu ASP Mohd Nasir Mustapha telah membawa saya dan pegawai perubatan ke kawasan perumahan tersebut dan pergi ke kawasan sungai di mana mangsa ditemui. Apabila saya melihat pada laluan ke sungai tersebut terdapat cerun dan bukit yang mana keadaan laluan itu adalah kompleks untuk kanak-kanak autistik dan kesukaannya bukan air kerana sejarah daripada pegawai perubatan saya menyatakan kanak-kanak itu tidak selalu pergi ke sungai tersebut.
"Setelah melihat tempat kejadian saya kata kepada pegawai perubatan saya kes itu saya akan ambil dan saya juga bagi tahu kepada ASP Mohd Nasir. Lawatan ini penting untuk saya mengesahkan (corroborate) kecederaan pada mangsa sekiranya ada dengan tempat kejadian, setelah itu baharu saya buat kes tersebut," katanya yang sebelum ini bertugas di jabatan sama di Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Saksi pendakwaan ke-27 itu berkata demikian semasa memberi keterangan pada perbicaraan hari ke-15 dalam kes pengabaian dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari.
Terdahulu, semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Dr Rohayu berkata bedah siasat terhadap jasad Zayn Rayyan dilakukan pada 12 tengah hari, 7 Dis 2023, susulan pegawai perubatan beliau membuat pembentangan sejarah kes si mati sebelum proses bedah siasat dibuat.
"Pegawai perubatan saya memberitahu si mati (Zayn Rayyan) adalah kanak-kanak autistik dan secara saintifik kanak-kanak autistik ini mempunyai kesukaan tertentu...apabila pegawai perubatan saya menyatakan kanak-kanak ini mati lemas saya bertanya adakah kanak-kanak ini suka air, apa kesukaan dia, jika dia suka air maka dia akan pergi ke tempat air dan bermain air.
"Namun, soalan ini tidak dapat dijawab maka saya minta pegawai perubatan menghubungi polis untuk saya dan pegawai perubatan pergi ke tempat kejadian. Oleh itu, bedah siasat tidak dilakukan sehingga selesai lawatan ke tempat kejadian kerana itu bedah siasat dilakukan pada 12 tengah hari selepas pulang membuat lawatan ke tempat kejadian," jelasnya.
Menurut Dr Rohayu, selepas membuat bedah siasat dan melawat ke lokasi kejadian, beliau menyimpulkan bahawa kes terbabit bukan lemas dan kecederaan pada si mati tidak konsisten dengan tempat kejadian.
"Kesan guntingan di telinga dan kesan luka tajam di lengan tidak konsisten dengan tempat kejadian kerana tempat kejadian adalah kawasan sungai dan terdapat pohon-pohon kecil serta pohon besar dan ianya boleh menghasilkan luka tumpul tetapi luka tumpul pada badan si mati, sekiranya jatuh sepatutnya ada bahagian utama (prominent area) sahaja dan di tempat kejadian tidak boleh menghasilkan kesan jerutan.
Ismanira dan Zaim Ikhwan, masing-masing berusia 30 tahun didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, hingga ke kawasan sungai berdekatan apartmen itu antara pukul 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
Prosiding di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung esok. - BERNAMA