fb fb fb fb fb

Terkini: 73 lagi Pati lolos diri dari tahanan Bidor masih diburu

Beberapa tahanan pendatang asing tanpa izin etnik Rohingya yang berjaya ditahan pihak berkuasa

BIDOR, 5 Februari - Dua lagi lelaki etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Bidor ditahan semula pasukan operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mereka ditahan di Ladang Kelapa Sawit Kam Garden, Sungkai pada pukul 12 tengah hari tadi.

"Sehingga kini, daripada 131 orang tahanan yang lolos daripada Depot Imigresen Bidor, seramai 56 orang telah berjaya ditangkap, manakala seramai dua orang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, seramai 73 orang tahanan masih belum berjaya dikesan. 

Polis percaya baki tahanan yang lolos masih berada di hutan serta kampung sekitar kawasan Tapah, Bidor dan Sungkai.

Justeru orang ramai diminta terus bekerjasama untuk mengesan baki tahanan yang melarikan diri.

Pada Khamis lepas, seramai 131 Pati melarikan diri dari blok lelaki Depot Imigresen Bidor pada kira-kira 9.50 malam.

GRACE AISYAH KEDAYAN