fb fb fb fb fb

Diperdaya skim pelaburan kripto, pengarah syarikat rugi lebih RM11 juta

Foto Hiasan / Fail

KUALA LUMPUR, 5 Februari - Seorang pengarah syarikat kerugian lebih RM11 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto 'ACCERX' yang diiklankan di Facebook, September lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata kerugian itu merupakan yang terbesar setakat ini melibatkan individu dalam kes membabitkan skim pelaburan berkenaan.

"Lelaki berusia 60 tahun itu membuat laporan polis pada 30 Januari lalu. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya menerusi kenyataan.

Sejak November lalu, Rohaimi berkata sebanyak 124 laporan diterima daripada mangsa penipuan pelaburan itu di seluruh negara melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah lebih RM90.3 juta.

"Hasil siasatan polis mengenal pasti 73 syarikat, 83 akaun bank milik syarikat dan perniagaan serta satu akaun bank individu yang digunakan dalam penipuan ini," katanya.

Tambah Rohaimi, mana-mana individu yang masih berurusan dengan skim pelaburan berkenaan, dinasihat menghentikan segera dan membuat laporan di balai polis berhampiran.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN