fb fb fb fb fb

Terjatuh di atas landasan, lelaki maut digilis tren

FOTO BOMBA KL

KUALA LUMPUR, 2 Disember- Bomba Kuala Lumpur mengesahkan kejadian seorang lelaki berumur 27 tahun yang maut akibat digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) selepas terjatuh ke atas landasan di stesen LRT Dato’ Keramat malam semalam.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Fabell Md Yasin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.05 malam, dan terpaksa mendapatkan bantuan juruteknik LRT untuk menggerakkan tren kebahagian belakang bagi mengeluarkan mayat lelaki itu.

“Lelaki itu digilis di bahagian kedua-dua belah kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak petugas kesihatan,” katanya.

Sementara kenyataan oleh Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) malam tadi memaklumkan susulan kejadian itu jadual perjalanan LRT Laluan Kelana Jaya terjejas, menyebabkan waktu menunggu yang lebih lama.

Menurutnya perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas sokongan, telah diaktifkan bagi menyokong operasi.

“Pihak Rapid Rail akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian. Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat kejadian itu, dan atas kelewatan tren malam ini,” menurut kenyataan itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE