fb fb fb fb fb

TDM patahkan cubaan seludup keluar mercun dan rokok pelbagai jenama

FOTO Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen

LUNDU, 22 November- Cubaan menyeludup keluar mercun dan rokok pelbagai jenama menggunakan jalan haram melalui sempadan Malaysia-Indonesia berjaya dipatahkan oleh Tentera Darat Malaysia, TDM tengah malam tadi.

Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen dalam kenyataannya memaklumkan, cubaan tersebut dilakukan di kawasan sebuah ladang sawit berdekatan laluan haram 50 meter dari sempadan berkenaan.

"Cubaan penyeludupan dilakukan menggunakan sebuah kenderaan utiliti sukan dan sebuah lori yang membawa muatan yang bertutup di laluan haram menghala ke arah Indonesia, kira-kira 12.30 tengah malam.

"Anggota TDM dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat yang sedang melaksanakan rondaan di kawasan Sektor Pos GABMA Kandaie telah menahan kenderaan terbabit bagi tujuan pemeriksaan.

"Bagaimanapun, pemandu kenderaan bertindak melarikan diri ke arah sempadan Indonesia," menurut kenyataan tersebut.

Barangan yang ditinggalkan terdiri daripada 50 kotak mercun dan 3,800 karton rokok pelbagai jenama.

Hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM336,050.00

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu dan kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak kastam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE