fb fb fb fb fb

Pesara kerugian lebih RM260,000 diperdaya 'phone scam'

FOTO RTM

KUANTAN, 23 November- Seorang pesara mengalami kerugian sebanyak RM260,950 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon atau 'phone scam'

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek menyamar sebagai pegawai dari Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan mendakwa mangsa terlibat dengan aktiviti judi dalam talian dan penggubahan wang haram pada September lepas.

Menurut beliau, panggilan telefon tersebut kemudiannya disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis menyatakan terdapat waran tangkap dikeluarkan terhadap mangsa berikutan sejumlah RM1.18 juta telah dimasukkan ke dalam akaun bank pesara terbabit.

"Pada 27 Oktober lalu mangsa telah diarahkan memindahkan wang simpanan Tabung Haji sebanyak RM120,000 ke dalam akaun bank miliknya, Mangsa turut diarahkan supaya meletakkan kad ATM berserta nombor pin di lokasi yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan oleh Jabatan Audit Negara.

"Mangsa mula menyedari ditipu setelah mendapati wang di dalam akaun bank miliknya sebanyak RM260,950 termasuk wang simpanan Tabung Haji, telah dikeluarkan oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Seri Yahaya menasihati orang ramai agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan, sekiranya menerima panggilan yang meragukan bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan.

Trainee