fb fb fb fb fb

Sindiket jual air ketum tumpas, enam individu ditahan polis

Foto Facebook rasmi Polis daerah Ipoh

IPOH, 23 November-Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dan menjual air ketum dalam serbuan di Taman Pakatan Jaya, Ipoh, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, enam individu tempatan berusia 24 hingga 42 tahun dipercayai ahli sindiket ditahan di sebuah rumah di kawasan perumahan berkenaan kira-kira pukul 12.10 pagi.

Jelasnya, hasil pemeriksaan menemui 3,000 bungkusan air ketum dianggarkan 900 liter yang tersimpan dalam tong air berwarna oren.

Menurutnya, turut dijumpai 35 bungkusan plastik hitam mengandungi dedaun ketum seberat 350 kilogram, tiga unit tong gas dan dua periuk.

Katanya, nilai keseluruhan bungkusan air dan daun ketum yang dirampas berjumlah RM41,000

Ujarnya, sindiket terbabit mula aktif dalam aktiviti pengedaran air ketum sejak tahun 2022 dengan menyasarkan penagih ketum di daerah Ipoh.

Katanya lagi, semakan rekod lampau mendapati, dua daripada suspek pernah ditangkap masing-masing atas kesalahan di bawah Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Akta Racun 1952.

Ujian saringan air kencing mendapati, hanya seorang daripada mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Tambahnya, kesemua suspek telah direman selama tiga hari sehingga esok (Ahad) bagi siasatan kes di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah. Berbahaya 1952.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD