KUALA LUMPUR, 24 November- Seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah lori yang mengundur secara tiba-tiba di Jalan Kerinchi, semalam.
Sehubungan itu, polis telah menahan seorang lelaki iaitu pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pada pada hari sama di perkarangan Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.
Beliau berkata kejadian berlaku semasa pemandu lori berkenaan memberhentikan lorinya dalam sebuah kawasan tapak pembinaan untuk mengisi minyak brek, apabila tiba-tiba lori itu bergerak secara mengundur dengan sendiri lalu melanggar pagar pintu keselamatan dan masuk ke jalan utama sebelum melanggar sebuah motosikal.
“Penunggang motosikal, lelaki tempatan berusia 32 tahun yang hilang kawalan semasa cuba mengelak lori terbabit, telah terjatuh lalu terperosok ke bawah tayar bahagian belakang sebelah kanan lori, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Zamzuri berkata sebuah kereta yang melalui kawasan itu turut dilanggar lori berkenaan, yang menyebabkan pemandunya mengalami kecederaan pada bahagian dahi.
Terdahulu, tular satu video yang memaparkan sebuah lori bergerak mengundur dan melintang di tengah sebuah jalan sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal terjatuh ketika cuba mengelak lori itu.