PASIR MAS, 24 November- Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan kambing dari negara jiran semasa menjalankan sekatan jalan raya di Banggol Kong, Pasir Mas, semalam.
Tangkapan dan rampasan dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan oleh sepasukan anggota BN 7 PGA kira-kira pukul 10.30 pagi apabila menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 10 ekor kambing anggaran lebih 400 kg dipercayai diseludup dari Thailand ditemui di dalam kenderaan tersebut tanpa dokumen yang sah.
Suspek seorang lelaki berumur 29 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kambing-kambing tersebut ke pasaran tempatan turut ditahan.
Anggaran nilai rampasan bernilai RM 10,000.00 dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.
Pasukan Gerakan Am akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.