KUANTAN, 22 November-Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas kira-kira 2.577 juta batang rokok putih bernilai RM206, 224 dengan anggaran cukai lebih RM1.7 juta dalam dua operasi berasingan pada Oktober dan awal November.
Dalam kes pertama, pegawai Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kuantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok di Lebuh Raya Kuantan-Segamat di Muadzam Shah pada 22 Oktober lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, hasil aduan orang awam, kastam berjaya menahan lori yang didaftarkan di bawah sebuah syarikat, dipercayai dalam perjalanan dari pantai timur ke selatan tanah air.
Hasil pemeriksaan menemui sejumlah kotak yang mengandungi rokok disyaki barang larangan berjumlah 1.680 juta batang rokok dengan nilai RM134,400.
Cukai dianggarkan bernilai RM1.122 juta.
Bagaimanapun, pemandu lori terbabit berjaya melarikan diri ke kawasan sawit berhampiran, manakala lori tersebut ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan enjin dihidupkan.
"kita berasakan bahawa rokok-rokok ini datangnya daripada pantai timur,iaitu kemungkinan besar di kawasan Terengganu, Besut berhampiran dengan sempadan.
"Sebab kalau hendak bawa bot ke selatan mungkin jauh", katanya
Kes disiasat di bawah seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 167 yang membawa hukuman denda hingga 20 kali nilai barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali
Sementara bagi kes kedua, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan telah melakukan serbuan di sebuah gudang dua tingkat di Pusat Perindutrian Alor Gajah Melaka pada 3 November lalu.
Hasil pemeriksaan menemui rokok putih berjumlah 897 ,800 batang melibatkan cukai lebih RM500.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda serupa dengan kes pertama.
Kedua-dua kes terbabit bagaimanapun masih dalam siasatan dan pihak kastam sedang mengesan pelaku yang terlibat.