fb fb fb fb fb

Taktik menyamar rakan baik, mangsa kerugian RM49,800

FOTO FAIL

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Seorang pemilik agensi pelancongan mengalami kerugian RM49,800 selepas ditipu lelaki yang menyamar sebagai rakan baiknya.

Kejadian berlaku selepas mangsa  menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang mengaku sebagai rakan baiknya pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asistan Komisioner (ACP) Azli Mohd Noor berkata, mangsa seorang wanita berusia 63 tahun percaya pemanggil tersebut adalah rakan baiknya kerana suara yang seakan-akan sama.

"Suspek meminta mangsa meminjamkan wang dengan segera kerana kecemasan dan berjanji akan memulangkannya selepas masalah selesai. Mangsa yang kasihan dengan rela hati membuat dua kali pindahan wang ke akaun bank yang diarahkan suspek.

"Bagaimanapun mangsa berasa curiga kerana suspek meminta mangsa membuat satu lagi pindahan wang ke akaun berkenaan. Dia kemudiannya bertindak menghubungi sendiri rakan baiknya menggunakan nombor telefon dalam simpanannya," menurut Azli Mohd Noor.

Kenalan tersebut mengesahkan bahawa dia berada di luar negara dan tidak pernah menghubungi mangsa untuk meminjam wang. 

Mangsa yang tertipu telah membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu Azli Mohd Noor meminta orang ramai supaya berwaspada dengan pelbagai cara dan taktik penipuan sindiket yang berleluasa.

TETITIA YUSOFF