fb fb fb fb fb

Taktik bot beroperasi dalam gelap gagal kaburi Jabatan Perikanan

Foto Jabatan Perikanan Kedah

ALOR SETAR, 5 Oktober - Taktik dua nelayan warga Thailand yang bekerja atas bot pukat tunda zon C tempatan menceroboh kawasan perairan Taman Laut Pulau Payar pada waktu awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, gagal.

Selain menceroboh kawasan perairan Taman Laut Pulau Payar, nelayan terbabit turut dikesan melakukan pelbagai kesalahan melanggar syarat lesen bot pukat tunda yang ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia.

Pengarah Perikanan Negeri Kedah Sukri Deris berkata, bot tersebut ditahan anggota Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Negeri Kedah ketika sedang leka menangkap ikan pada kedudukan 2.5 batu nautika dari Pulau Lembu, kira-kira pukul 2.30 pagi semalam.

Beliau berkata, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM1,000,000 telah disita.

Turut disita adalah hasil tangkapan ikan sebanyak 70 kilogram (kg) ikan bernilai tinggi dengan anggaran bernilai RM2,100.

"Bot tersebut ditahan atas kesalahan bawah Seksyen 8 (b), Seksyen 11 (3) (b) dan Seksyen 43(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat yang ditetapkan dalam lesen serta menangkap ikan dalam kawasan Taman laut. Selain itu, bot tersebut juga disyaki menceroboh kawasan perairan negeri Kedah kurang 12 batu nautika daripada pantai kerana bot tersebut telah didaftarkan di Perlis," katanya dalam kenyataan.

Kes telah diserah kepada Pegawai Penyiasat Pejabat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kelunchur untuk siasatan lanjut.

Sukri mengingatkan para nelayan agar tidak mengambil mudah usaha pihak jabatan menjaga dan mengawasi perairan taman laut daripada dicerobohi.

Katanya, perairan Taman Laut dijaga sebaik mungkin agar sumber perikanan negeri ini terus dapat dipertingkatkan dan hasil sumber perikanan ini akan melimpah ke seluruh kawasan perairan negeri Kedah.

Hasil peningkatan sumber perikanan ini akan dapat dimanfaatkan oleh 7,609 orang nelayan di Negeri ini.

"Kegiatan pencerobohan nelayan ke kawasan perairan taman laut akan menggagalkan segala usaha pihak jabatan dalam menguruskan sumber perikanan secara mapan," katanya lagi.

Beliau juga menyeru kepada semua nelayan agar mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak Jabatan agar sumber perikanan ini dapat dikekalkan sampai bila-bila.

TETITIA YUSOFF