fb fb fb fb fb

Syarikat pembekal minyak mengaku salah kemuka dokumen palsu

FOTO HIASAN

KUANTAN, 14 Julai- Sebuah syarikat pembekal minyak masak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu berkaitan barangan kawalan, dua tahun lepas.

Syarikat Edge Shipping Resources Sdn Bhd yang diwakili Pengarahnya Abdul Rahman Ahmad, 78, membuat pengakuan itu ketika pendakwaan dibacakan terhadapnya.

Syarikat itu didakwa mengemukakan 42 dokumen palsu iaitu invois atau cash sales kepada Pasar Mini Setali, berkaitan pembekalan barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual minyak masak yang dikehendaki oleh penolong pengawal bekalan.

Syarikat itu didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Pertumbuhan Desa Kampung Soi, Jalan Pantai Sepat, di sini pada 1 Nov 2023

Syarikat terbabit didakwa melakukan kesalahan di bawah Subsekyen 8 (4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 22 (2).

Jika sabit kesalahan, syarikat berdepan hukuman denda maksimum RM2 juta dan kesalahan kali kedua atau kesalahan berulang denda maksimum RM5 juta.

Bagaimanapun, peguam Ahmad Faizzuddin Fatahai Ariffin memohon kepada mahkamah untuk menetapkan satu tarikh perbicaraan baru bagi mendengar semula fakta kes dan hukuman.

Hakim Wan Noor Aisah Mohamed menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh sambung perbicaraan. - BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE