KUALA TERENGGANU, 22 November -Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai menceroboh dan merakam wanita menggunakan telefon bimbit di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor dalam kenyataan berkata, mangsa berusia 29 tahun dan bekerja sebagai jurujual mendakwa kejadian berlaku pada 6.12 petang dan suspek berbuat demikian menerusi celah pintu.
"Mangsa segera keluar dari tandas dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali berdiri memegang telefon di luar pintu dan sempat merakam visual suspek dari belakang sebelum dia melarikan diri," katanya.
Azli berkata siasatan awal mendapati suspek berusia dalam lingkungan awal 20-an, berambut perang, memakai T-shirt putih gambar Ultraman, berseluar jeans gelap dan memakai beg silang.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTC) mendapati suspek melarikan diri melalui pintu utama pusat beli-belah ke arah Dataran Shahbandar.
"Siasatan diteruskan dengan mendapatkan rakaman penuh CCTV bagi membolehkan pengecaman wajah suspek," katanya lagi.
Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu menerusi talian 09-632 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 448/509 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan melakukan perbuatan memalukan atau menjatuhkan maruah.