fb fb fb fb fb

Suspek bunuh isteri sempat ambil anak dari sekolah sebelum serah diri

Kenderaan Forensik Polis mengeluarkan mayat seorang wanita yang dipercayai dibunuh suaminya dari sebuah rumah di Kampung Paku, Gual Ipoh/foto BERNAMA

TANAH MERAH, 1 Disember - Kejadian seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya di Kampung Paku, Gual Ipoh, Kelantan, pagi tadi, tidak disedari oleh sesiapa termasuk jiran tetangga.

Suspek, 63, dikatakan menikam isterinya Mastura Abdullah,40, di rumah mereka sebelum keluar mengambil anak bongsunya, 10, di sekolah pada pukul 12.00 tengah hari.

Adik kepada mangsa, Mohd Jony Abdullah, 30, berkata, dia hanya mengetahui perkara itu selepas sepupu menghubungi ibunya, Sakinah Mat Isa, 62, memaklumkan kejadian tersebut.

Katanya, sebaik menerima berita tersebut, dia bergegas ke rumah arwah kakaknya, namun mendapati pihak polis sudah berada di sana. Suspek dipercayai menyerah diri di balai polis.

"Semasa kejadian, saya sedang tidur. Saya terjaga apabila terdengar panggilan telefon dan ibu saya memaklumkan bahawa kakak sudah tiada. Saya segera bergegas ke rumah kakak, namun setibanya di sana pihak polis sudahpun berada di lokasi.

"Tiada orang lain yang mengetahui kejadian itu pada awalnya. Kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 10.00 lebih, " jelasnya.

Menurut Mohd Jony, kejadian berlaku di dapur rumah, dan kematian mangsa disaksikan anak saudaranya yang baru pulang dari sekolah.

Tambahnya, arwah kakaknya tiba dari Selangor pada pukul 8.00 pagi tadi dengan menumpang lori sepupu mereka sebelum dijemput adik bongsu di sebuah stesen minyak di Machang untuk pulang ke rumah.

"Arwah telah bekerja sebagai tukang masak di Selangor sejak setahun lalu dan hanya pulang ke kampung setiap dua hingga tiga minggu," jelasnya.

Namun, beliau tidak menyangka kepulangan Mastura kali ini berakhir dengan tragedi yang meragut nyawanya.

"Arwah merupakan isteri ketiga suspek dan mereka sudah mendirikan rumah tangga sejak 14 tahun lalu, tetapi arwah tidak begitu rapat dengan suspek. Jenazah kakak saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paku sebaik selesai proses bedah siasat," katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita maut dipercayai ditikam suaminya di rumah mereka di Gual Ipoh, Tanah Merah, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.00 tengah hari itu, mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI