KUALA LUMPUR, 1 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkasakan pelaksanaan operasi penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan setiap tindakan yang diambil memberi kesan positif kepada masyarakat, khususnya dalam menangani penularan gejala songsang di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata setiap siasatan perlu diteruskan menggunakan kaedah yang dibenarkan undang-undang bagi memastikan bukti tambahan dapat diperoleh untuk mengaitkan suspek dengan kesalahan yang disyaki.
"Dalam proses pelaksanaan operasi itu sendiri, terdapat beberapa aspek yang mungkin perlu diperbaiki. Kaedah pelaksanaan ini perlu dikaji bersama agar penguatkuasaan undang-undang dapat memberi kesan positif kepada masyarakat.
"Kita tidak mahu situasi di mana serbuan dilakukan, tangkapan dibuat, dan siasatan dijalankan, tetapi dalam pelaksanaan proses tersebut, perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
"Walaupun ada cabaran, siasatan lanjut tetap perlu diteruskan dengan apa jua cara yang dibenarkan undang-undang. Diharapkan, langkah ini dapat membantu memperoleh bukti tambahan untuk mengaitkan suspek dengan kesalahan yang disyaki," katanya selepas Program Penyerahan Sumbangan Masih Ada Yang Sayang, di sini, hari ini.
Tambahnya, setiap kesalahan tertakluk kepada syarat undang-undang tertentu, dan seseorang tidak boleh dituduh melakukan jenayah tanpa bukti yang mencukupi bagi memenuhi semua elemen kesalahan tersebut.
Terdahulu, seramai 203 lelaki berusia 19 hingga 60 tahun ditahan menerusi Op Songsang yang dijalankan oleh polis bersama tiga agensi lain di sebuah premis di Jalan Raja Laut. Bagaimanapun, mereka dibebaskan selepas Mahkamah Majistret menolak permohonan reman terhadap 171 individu kerana permohonan itu dikemukakan lewat, berikutan jumlah tangkapan yang terlalu ramai.