MIRI, 19 Mac- Seorang wanita warga emas di Miri mengalami kerugian sebanyak RM31,700 setelah tertipu dengan iklan pembelian barangan rumah terpakai dan besi buruk menerusi platform media sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu menerusi satu kenyataan memaklumkan, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah, BSJKD Miri telah menerima satu laporan polis berkenaan kes tipu membabitkan mangsa seorang suri rumah, 17 Mac lalu.
Beliau berkata, kes tersebut berlaku sekitar bulan lalu apabila mangsa berusia 60-an itu telah berminat untuk membeli barangan terpakai yang diiklankan melalui laman Facebook.
Mangsa kemudiannya dihubungi suspek pada 15 Mac lepas bagi urusan pembelian barangan berkenaan.
"Apabila hendak membuat pembayaran, mangsa telah memasukkan nama pengguna dan kata laluan perbankan internet beberapa kali ke dalam aplikasi tersebut namun gagal,"katanya.
Selepas itu mangsa mendapati wang daripada dua akaun miliknya telah berkurang dengan anggaran jumlah keseluruhan sebanyak RM31,700.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun, dan sebat dan juga denda.