fb fb fb fb fb

Penjawat awam didakwa di mahkamah terima rasuah bernilai RM90,000

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 19 Mac -Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dengan enam pertuduhan menerima rasuah bernilai RM90,000

Tertuduh, Yusliza Othman @ Yusof berusia 51 tahun bagaimanapun tidak mengaku salah kesemua pertuduhan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh juga seorang Pembantu Tadbir Kanan di sebuah Jabatan kerajaan negeri didakwa menerima suapan berupa bayaran ansuran sewa beli sebuah kereta jenis honda stream dengan pembiayaan sepenuhnya oleh sebuah syarikat pembekal.

Ia sebagai balasan memudahkan syarikat tersebut memperolehi kerja kerja pembekalan di Jabatan itu secara berterusan dari tahun 2017 hingga 2022.

Bayaran ansuran kenderaan itu berjumlah RM1,068 sebulan dibayar  syarikat terbabit dimana kereta itu digunakan sepenuhnya oleh tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd Yusof, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Mahkamah kemudiannya mengenakan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan tiga syarat tambahan.

Syarat tersebut melarang tertuduh mengganggu saksi saksi pendakwaan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri pada 7 haribulan setiap bulan sehingga kes selesai.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD