fb fb fb fb fb

Suami direman enam hari bantu kes kematian isteri

Seorang individu, berusia 57 tahun, direman enam hari sehingga 15 April depan bagi membantu siasatan berhubung kematian isterinya yang ditemukan dengan kesan kecederaan / Foto Hiasan / Bernama

KULIM, 12 April - Seorang individu, berusia 57 tahun, direman enam hari sehingga 15 April depan bagi membantu siasatan berhubung kematian isterinya yang ditemukan dengan kesan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendent Mohd Azizul Mohd Khairi memaklumkan, mangsa meninggal dunia dipercayai akibat keganasan rumah tangga, Selasa lalu.

Beliau berkata, kematian wanita berusia 61 tahun itu diketahui selepas Balai Polis Sungai Kob, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima laporan kematian mangsa.

"Siasatan awal mendapati wanita berkenaan, dihantar ke Hospital Kulim selepas didakwa jatuh dalam bilik air. Mangsa kemudian dilapor meninggal dunia, pada hari sama," katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azizul berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan lebam lama serta baru di badan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN