fb fb fb fb fb

Kemalangan maut di Durian Tunggal, anggota polis ditahan bantu siasatan

Seorang anggota polis ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan maut seorang penunggang motosikal berusia 18 tahun di Jalan Gangsa-Kesang, Durian Tunggal di sini pada awal pagi, Rabu lepas / Foto Hiasan

MELAKA, 12 April - Seorang anggota polis ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan maut seorang penunggang motosikal berusia 18 tahun di Jalan Gangsa-Kesang, Durian Tunggal di sini pada awal pagi, Rabu lepas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata anggota berpangkat koperal berusia 37 tahun dari Balai Polis Durian Tunggal itu ditahan di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira pukul 9 pagi tadi.

“Polis masih dalam proses merakam percakapan anggota terbabit dan maklumat awal mendapati ketika kejadian, anggota berkenaan memandu kenderaan polis bersendirian sebelum beberapa anggota lain tiba di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan.

Zainol berkata, anggota polis terbabit yang berkhidmat di IPD Alor Gajah sejak November 2021 sedang melakukan rondaan cegah lumba haram berdasarkan aduan orang awam ketika kejadian itu.

Beliau berkata, sehingga kini, polis telah menerima enam laporan berkaitan kemalangan tersebut selain melakukan tiga rakaman percakapan melibatkan saksi dan ahli keluarga mangsa.

"Ujian saringan air kencing ke atas anggota polis terbabit mendapati dia bebas daripada penyalahgunaan dadah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN