GEORGE TOWN, 24 Julai – Polis Pulau Pinang menahan empat lelaki termasuk seorang warga Vietnam serta merampas 112.1 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM3.72 juta dalam dua serbuan di Bukit Mertajam.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata operasi bermula pukul 10 pagi Selasa hingga 3 pagi Rabu itu membawa kepada penahanan suspek berusia antara 31 hingga 39 tahun.
“Dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di sebuah bilik hotel dan seorang lagi di lobi hotel yang berperanan sebagai 'transportet' atau penghantar. Pemeriksaan menemukan 9.2 kilogram ganja serta 4.2 kilogram bunga ganja di dalam sebuah beg kanvas.
“Penahanan seorang lagi lelaki warga Vietnam di Seberang Jaya membawa kepada serbuan di sebuah inap desa yang dijadikan stor penyimpanan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Pemeriksaan lanjut menemukan 105 bungkusan bunga ganja seberat 97.7 kg, dengan siasatan mendapati inap desa jenis kondominium itu disewa sindiket sejak minggu lalu.
Mohd Alwi berkata, sindiket itu dipercayai mendapatkan bekalan daripada rangkaian pengedar dadah antarabangsa di negara jiran sebelum menyeludup masuk menggunakan jalan darat untuk diedarkan sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur.
Sindiket berkenaan yang mula aktif sejak Mac lalu dipercayai mampu membekalkan dadah itu kepada kira-kira 230,000 penagih.
“Polis turut menyita wang tunai RM1,300 dan tiga kenderaan serta motosikal dengan nilai sitaan keseluruhan RM199,300.
“Tiga lelaki tempatan yang ditahan positif dadah dan mempunyai tujuh hingga 13 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” katanya.
Kesemua suspek direman tujuh hari hingga 29 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.