PETALING JAYA, 23 Julai - Datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa menantu dan anak lelakinya tidak mengabaikan cucu sulungnya itu kerana mereka merupakan ibu bapa yang bertanggungjawab.
Zahari Mohd Reba, 57, berkata beliau tidak percaya bahawa menantunya, Ismanira Abdul Manaf, dan anaknya, Zaim Ikhwan, melakukan perbuatan tersebut kerana pasangan suami isteri itu menyayangi anak lelaki mereka.
"Arwah Zayn cucu kesayangan saya… sekiranya mak atau ayah arwah tidak bekerja, saya akan pastikan mereka datang ke rumah untuk bermesra.
"Hubungan arwah dengan ibu bapanya sangat akrab, saya percaya anak dan menantu saya tidak terlibat membunuh arwah Zayn," katanya semasa pemeriksaan utama peguam Haresh Mahadevan pada prosiding membela diri Ismanira dalam kes pengabaian membabitkan kanak-kanak malang berusia enam tahun itu.
Saksi pembelaan kedua itu berkata beliau sangat berdukacita dengan kehilangan cucu sulung lelakinya itu dan dia sangat menyayangi Zayn Rayyan.
Disoal Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengenai hubungan akrab antara arwah dengan Ismanira dan Zaim Ikhwan, Zahari berkata Zayn Rayyan adalah seorang kanak-kanak autistik yang memerlukan perhatian teliti daripada ibu bapanya.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa layanan Ismanira dan Zaim Ikhwan terhadap Zyan Rayyan serta adiknya adalah sama.
Isnin lepas, Hakim Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira, 30, membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu manakala suaminya, Zaim Ikhwan, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA