PUTRAJAYA, 4 September- Seorang penjawat awam direman tujuh hari sehingga 10 Sept kerana disyaki menyalahgunakan jawatannya untuk mendapatkan kerja pembekalan barang-barang keperluan logistik sekolah daripada syarikat milik suaminya, berjumlah kira-kira RM270,000.
Perintah reman terhadap wanita berusia lingkungan 40-an itu, dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber wanita itu yang bertugas di sebuah sekolah di sekitar Lembah Klang, ditahan sekitar 7 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.
“Siasatan awal mendapati individu itu disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2022,” katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009.- BERNAMA