fb fb fb fb fb

SPRM tahan pengerusi pertubuhan kebajikan kemuka permohonan palsu

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 7 Januari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu hari ini menahan seorang pengerusi sebuah pertubuhan kebajikan kerana disyaki mengemukakan permohonan bantuan persekolahan tidak wujud bernilai RM5,000. 

Menurut sumber, permohonan dengan butir matan palsu terhadap sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Terengganu dibuat suspek wanita berusia lingkungan 40-an itu melibatkan program 'Back To School' kononnya untuk diagihkan kepada 100 pelajar asnaf yang disenaraikan. 

"Bagaimanapun, bantuan berkenaan didakwa tidak pernah diterima senarai penerima bantuan tersebut malah program 'Back To School' itu juga tidak pernah diadakan. 

"Suspek ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi di pejabat SPRM Terengganu ketika hadir memberi keterangan," menurut sumber.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu esok untuk pertuduhan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut yang dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI