fb fb fb fb fb

Pengasuh disyaki dera kanak-kanak ditahan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 7 Januari- Seorang wanita ditahan pada Khamis selepas disyaki terlibat dalam kes dera seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, di Jalan Ampang Indah di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail memaklumkan wanita berusia 39 tahun yang juga pengasuh kanak-kanak itu, ditahan kira-kira pukul 10 malam di rumahnya oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang.

Katanya tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa pada 17 Disember lepas, setelah menyedari terdapat kesan luka pada badan anaknya ketika mengambil kanak-kanak itu di rumah pengasuh.

“Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Ampang dan pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan kecederaan lama serta baharu di belakang badan, muka, kedua-dua bahagian lutut dan kaki mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu menyewa bilik di rumah wanita terbabit dan mengupahnya menjaga mangsa dengan bayaran RM800 sebulan, ketika dia keluar bekerja.

Semakan mendapati wanita itu tiada rekod jenayah lampau dan dia direman selama tujuh hari sehingga 11 Jan, bagi siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI