fb fb fb fb fb

Polis Kedah tahan 1,661 individu terbabit kes perjudian sepanjang tahun lalu

 ALOR SETAR, 7 Januari- Polis Kedah menahan  1,661 individu  hasil 1,504 serbuan  kes perjudian di negeri itu sepanjang tahun lalu membabitkan rampasan  keseluruhan bernilai lebih RM311,000.
 
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata tangkapan tertinggi melibatkan  judi ekor haram iaitu 876 individu  menerusi 863 serbuan  dengan nilai rampasan berjumlah RM137,349.
 
Beliau berkata, bagi judi atas talian pula sebanyak 622 serbuan dilakukan dengan  637 tangkapan dan rampasan RM78,713.

Sementara itu, katanya tiga serbuan dilakukan bagi jenayah perjudian 'calling center'  dengan  10 tangkapan  selain judi dalam bangunan dan judi luar bangunan masing-masing lapan serbuan dan 138 tangkapan.
 
"Bermula tahun ini Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah khususnya Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) memberi fokus membanteras jenayah perjudian.

"Dalam tempoh enam hari pertama pada tahun ini sebanyak  13 serbuan berjaya dilaksanakan  bagi perjudian judi atas talian dengan tangkapan seramai 27 orang dan wang rampasan sebanyak lebih RM2,000,"katanya.
 
Manakala bagi judi ekor haram pula sebanyak 12 serbuan berjaya di lakukan dengan tangkapan sebanyak 13 orang dan wang rampasan RM1,526.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media di Alor Setar.
 
 
 
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE