fb fb fb fb fb

Kedai makanan laut tular harga mahal diserbu KPDN

Penguatkuasa KPDN memeriksa kedai makanan laut di Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor/ Foto: KPDN

LUMUT, 7 Januari- Sebuah kedai makanan laut di Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, yang tular kerana mengenakan harga tidak masuk akal diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, berkata serbuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) selepas menerima kiriman tular di TikTok dan kandungan sama dikongsikan pengguna lain di Facebook, Jumaat lalu.

Beliau berkata pengguna media sosial itu mendakwa telah dikenakan caj harga makanan laut siap masak yang mahal dan tidak setimpal dengan kualiti dan perkhidmatan yang diberikan.

"Hasil maklumat Ops Samar mendapati premis yang diadu tidak meletakkan tanda harga makanan hasil laut yang belum dimasak serta didapati tidak menggunakan alat timbangan dalam urusan penjualan makanan hasil laut.

"Premis terbabit hanya meletakkan tanda harga ketika pemeriksaan pegawai beruniform hari ini.

"Pemeriksaan dan perbandingan harga mendapati harga premis berkenaan lebih tinggi berbanding restoran lain sekitar Teluk Nipah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, tindakan ke atas peniaga telah diambil kerana disyaki melanggar Seksyen 140(3)(a)(b) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Tambah Kamalludin, siasatan lanjut akan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011.

Ujarnya lagi, sekiranya didapati berlakunya kesalahan mencatut dalam menjual atau membekalkan barangan dan perkhidmatan di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011, peniaga terbabit boleh dikenakan penalti RM500,000.

Justeru beliau turut mengingatkan peniaga lain di pulau bebas cukai itu supaya bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan terhadap pelancong.

ZEHRA BINTI ZAMBRI