fb fb fb fb fb

SPRM tahan dua individu kemuka tuntutan palsu RM270,000

Kedua-dua suspek diiringi pegawai SPRM ketika tiba di Mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur, pagi tadi

KUALA LUMPUR, 21 Februari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pengurus institut pusat latihan dan seorang pemilik syarikat latihan keselamatan dan pertahanan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM270,000.00

Sumber memberitahu, kedua-dua suspek lelaki tersebut ditahan antara kira-kira pukul 10 hingga 10.30 malam semalam melalui satu operasi yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melakukan kesalahan tersebut dari April hingga September 2023 kerana telah mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi melaksanakan latihan penyeliaan perkhidmatan sekuriti sedangkan peserta latihan tidak hadir sepenuhnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin mengesahkan tangkapan tersebut.

Kedua-dua suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini sehingga 24 Februari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE