fb fb fb fb fb

Bekas pengurus PHB mengaku tidak bersalah pindah RM40,000 hasil aktiviti haram

Tertuduh, Dicky Rahmat Abdullah adir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu

KUALA LUMPUR, 21 Februari- Seorang bekas pengurus bahagian pengurusan harta Pelaburan Hartanah Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas tuduhan memindahkan RM40,000 hasil aktiviti haram ke akaun bank peribadinya, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Dicky Rahmat Abdullah, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memindahkan wang itu daripada akaun Maybank SA Elit Enterprise ke akaun Maybank miliknya di Maybank Islamic, antara 8 September dan 9 Disember 2021.

Kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samat, memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana Dicky Rahmat didakwa di mahkamah itu minggu lalu.

Peguam bela tertuduh, Diar Isda Yazmin Ismail, tidak membantah permohonan pendakwaan untuk pemindahan kes berkenaan.

Hakim kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 3 April ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE