fb fb fb fb fb

Kastam patahkan cubaan seludup mercun dan arak bernilai RM5.22 juta

Foto RTM

PELABUHAN KLANG, 20 Februari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) berjaya mengagalkan penyeludupan mercun serta minuman keras yang dianggarkan bernilai RM5.22 juta.

Serbuan secara berasingan bersempena Tahun Baharu Cina itu dibuat menerusi beberapa siri rampasan di sekitar Selangor, Melaka dan Perak bermula 5 Februari hingga 8 Februari lalu.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail, semua barangan tersebut diseludup dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang membabitkan rampasan mercun bernilai RM694,000 melalui 5 serbuan berasingan di Selangor dan Perak.

"Kes rampasan pertama membabitkan 91 kotak mercun dengan nilai dan duti atau cukai berjumlah RM20,000 di sebuah gudang di Masjid Tanah, Melaka pada 5 Februari lalu".

“Bagi kes kedua pula, kastam merampas 100 kotak mercun dengan anggaran nilai dan duti atau cukai berjumlah RM20,000 dalam serbuan di sebuah premis gudang di Klang, 6 Februari lalu,”.

Beliau menjelaskan demikian dalam sidang media Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah Unit II (Selangor), di Pelabuhan Klang, Selangor.

Selain itu, pihaknya juga merampas 769 kotak mercun bernilai dan duti atau cukai berjumlah RM273,000 selepas menahan sebuah kontena serta pemeriksaan di sebuah gudang milik konsaini di Trong, Perak pada 7 Februari lalu.

“Bagi kes keempat pula, kami merampas 200 kotak mercun bernilai dan duti atau cukal berjumlah RM160,000 selepas satu kontena ditahan dan pemeriksaan sebuah gudang di sini pada 7 Februari lalu,”.

Selain itu, JKDM juga merampas 1,110 kotak mercun bernilai dan duti atau cukai berjumlah RM208,000.

“Rampasan itu hasil serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis gudang di Klang,Selangor pada 8 Februari lalu,”.

Kelima-lima kes mercun ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1Xa) Akta Kastam 1967.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar.

“Atau tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih besar".

“Tertuduh boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,”.

Setakat ini JKDM telah membuat dua tangkapan melibatkan seorang lelaki dan wanita tempatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, sebanyak 126,720 liter minuman keras bernilai RM4.53 juta turut dirampas menerusi serbuan dijalankan di sekitar Pelabuhan Utara, Selangor.

Operasi dijalankan membabitkan rampasan 5 kontena yang didapati mengandungi minuman keras pelbagai jenama.

Siasatan mendapati kesemua minuman yang dirampas, diikrar sebagai peralatan perabut melalui dokumen berkaitan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa

"Modus operandi yang digunakan oleh pihak sindiket adalah dengan mengikrar tidak benar dagangan sebagai 'Furniture Accessories' melalui Borang Manifes bagi mengelak dari dikesan oleh pihak JKDM".

Kesemua kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sementara itu, JKDM Zon Tengah turut merampas 17 ribu pistol angin bernilai RM4.4 juta selepas memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Barat pada 14 Februari lalu.

Barangan berkenaan tidak mempunyai permit import daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan nilai dagangan sebanyak RM1.8 juta

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD