ALOR SETAR, 20 Februari- Jabatan Imigresen Malaysia Kedah berjaya menumpaskan satu sindiket membekal pekerja asing yang tidak sah di sekitar kawasan utara yang didalangi oleh seorang lelaki warganegara Myanmar yang merupakan pemegang kad UNHCR.
Ia hasil ”Op Serkap” bermula jam 10.25 malam tadi oleh pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Unit Aduan, Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa di sebuah premis di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama seminggu, di lokasi pertama, pasukan operasi telah berjaya menangkap seorang lelaki warganegara Myanmar berumur 53 tahun yang dipercayai “dalang utama” sindiket berkenaan.
Pihaknya turut menahan lima perempuan dan seorang kanak kanak perempuan warganegara Myanmar yang dipercayai tidak memiliki permit sah untuk tinggal di negara ini.
Hasil soal siasat lanjut, kegiatan haram lelaki tersebut telah terbongkar dan telah membawa pasukan operasi ke dua lagi premis di Taman Batik, Sungai Petani, Kedah.
"Hasil pemeriksaan di dua lokasi tersebut, telah berjaya menangkap lagi 26 orang warga asing yang tidak memiliki permit yang sah.
Tangkapan di dua lokasi tersebut adalah terdiri daripada 16 lelaki dan 10 perempuan warganegara Myanmar.
Tangkapan keseluruhan adalah seramai 33 orang yang berusia lingkungan 2 sehingga 55 tahun dan sebanyak 24 naskhah pasport Myanmar telah dirampas untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Ridzzuan berkata, semasa serbuan dilakukan pihaknya mendapati pintu jeriji besi premis tersebut dalam keadaan berkunci dan anak kuncinya hanya dipegang oleh lelaki tersebut dan dipercayai bagi mengelak penghuninya keluar dan berkeliaran di kawasan sekitar ataupun melarikan diri.
Katanya, lelaki tersebut juga mengakui menyediakan dan menghantar makanan dua kali sehari bagi penghuni premis tersebut.
Tinjauan juga mendapati warga asing ini hanya dibekalkan tikar dan tilam nipis sebagai alas untuk tidur.
Siasatan awal mendapati kesemua tangkapan dipercayai telah melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Siasatan juga akan menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Kesemua yang ditahan direman di Depot Imigresen Belantik untuk siasatan lanjut.