LANGKAWI, 20 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis berjaya mematahkan cubaan seludup masuk daun ganja segar dari negara jiran di sini.
Daun ganja segar seberat 2 kilogram bernilai lebih RM6,000 itu ditemukan di kedudukan 2.7 batu nautika utara Pulau Langkawi sekitar 10.00 malam semalam.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa dalam satu kenyataan berkata rampasan dibuat ketika bot Maritim Malaysia melakukan rondaan dan telah mengesan sebuah bot fiber yang sedang bergerak laju dalam keadaan gelap.
Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia di lokasi, suspek bertindak membuang satu tong berwarna kuning ke laut sebelum menukar haluan dengan berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand bagi melarikan diri.
Hasil pemeriksaan ke atas tong berkenaan menemukan daun ganja segar dipercayai cuba diseludup masuk ke Malaysia untuk diproses dan dijual kepada rakyat tempatan.
Semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.