SEREMBAN, 20 Februari - Mahkamah Sesyen Seremban hari ini melepaskan dan membebaskan tanpa perlu membela diri, seorang pemandu teksi wanita daripada pertuduhan memperdagangkan seorang lelaki bagi tujuan eksploitasi meminta sedekah, tiga tahun lalu.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim, Datin Surita Budin selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Nurul Hidayah Md Nor, 32 tahun di akhir kes pendakwaan.
Dalam keterangan bersumpah, mangsa menyatakan dia meminta sedekah di tempat awam atas kerelaannya sendiri tanpa paksaan tertuduh atau mana-mana pihak.
Pada 8 April 2022, Nurul Hidayah mengaku tidak bersalah atas tuduhan memperdagangkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang bukan seorang kanak-kanak, bagi maksud eksploitasi di bawah Seksyen 27 (C) Akta Kesalahan Kecil 1955 dengan menyuruhnya meminta sedekah di tempat awam sedangkan dia mampu mempunyai mata pencarian lain.
Perbuatan itu didakwa dilakukan sekitar Seremban dan Senawang antara Mei hingga 7 November 2021, mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christopher Enteri Mawan, manakal tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Perbicaraan kes itu bermula 9 Januari 2023 dengan lapan saksi pendakwaan memberi keterangan.