fb fb fb fb fb

Buru PATI lolos, kawasan pencarian diperluas - Polis

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH, 20 Februari - Operasi memburu baki 30 tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor, dipergiat.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kawasan pencarian diperluas termasuk ke Kampar dan Muallim.

Beliau berkata sebelum ini operasi hanya tertumpu di Bidor dan Tapah.

"30 orang masih lagi kita belum kesan dan kita akan menggunakan pelbagai aset atau informasi yang kita ada untuk kita mengesan semula, kita akan melihat kepada maklumat awam yang kita terima," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Ujian Mara Lasak KP Hero Perak 2024 di Markas Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini.

Pada 1 Februari lalu, seramai 131 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor.

Dua daripada mereka meninggal dunia selepas terlibat kemalangan jalan raya ketika melarikan diri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN