fb fb fb fb fb

SPRM tahan dua anggota polis bantu siasatan kes rasuah RM635,000

FOTO HIASAN

JOHOR BAHRU, 31 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan reman dua lagi anggota polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM635,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan aktiviti perjudian.

Perintah reman selama enam hari sehingga 5 Ogos ini terhadap dua suspek itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Chai Ing Hien selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi.

Menurut sumber, dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.

“Tangkapan itu susulan penangkapan dua anggota polis semalam, melibatkan rasuah bernilai kira-kira RM635,000 dan sehingga kini SPRM telah menahan empat suspek berkaitan kes tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor Hairul Ilham Hamzah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE