KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Dua warga Turkiye yang hilang dan seorang terselamat selepas kapal layar mereka karam di perairan Pulau Yu, di sini, Selasa lepas merupakan peserta pelayaran yang merancang melakukan siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal mereka.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa yang hilang ialah kapten kapal layar Daisy, Ahmed Volkan Ata dan penumpang Eser Demirkol, manakala mangsa terselamat ialah Ates Demiroren.
“Sebelum itu, Ata telah mengemudi kapal layar itu dari Port Jackson Bay, Sydney, Australia dan berlabuh di Pelabuhan Kuantan, Pahang sebagai lokasi berkumpul. Dua lagi penumpang masing-masing dari Krabi, Thailand dan Singapura bertolak ke Pelabuhan Kuantan bagi memulakan siri jelajah.
“Pada 5 petang 28 Julai (Isnin), kapal layar itu telah memulakan siri jelajah pelayaran mengelilingi benua. Kapal layar terbabit sepatutnya dijadual berhenti di ‘check point’ pertama iaitu di Pelabuhan Pattani, Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun, pada 2.30 petang, Selasa kapal layar itu dilanda ribut dan dipercayai karam di perairan Pulau Yu.
Azli berkata Demiroren dijumpai terapung di perairan itu oleh nelayan tempatan tengah hari tadi dan dibawa ke Jeti Pulau Duyung di sini, sebelum dihantar ke balai polis.
“Sehingga kini, mangsa yang terselamat (Demiroren) dilaporkan dalam keadaan lemah dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Kejadian ini telah dimaklumkan kepada Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kedutaan Turkiye bagi tindakan lanjut.
“Segala urusan melibatkan warga Turkiye ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kedutaan Turkiye dan mangsa terselamat akan dibawa pulang selepas keadaannya bertambah baik,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Maritim Terengganu Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa telah diaktifkan pada 3 petang tadi dan bot peronda Perkasa 48 telah digerakkan ke lokasi pencarian.- BERNAMA