GEORGE TOWN, 31 Julai – Seorang pelayan kedai kopi dan pembantu kedai tomyam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar serta melempar mercun ke arah sebuah restoran.
Tertuduh, Khoo Teng Chi dan Joanne Lim, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan iaitu mercun dengan membakar dan melemparkannya ke premis Jing Zhang Restaurant & Bar di Jalan Pahang, George Town pada pukul 5.19 pagi, 23 Julai lalu.
Perbuatan itu menyebabkan pemilik restoran mengalami kerugian dan kerosakan bernilai RM34,800.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulzarif Mohd Zakwan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 seorang dan mengarahkan mereka melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 September depan.