KOTA KINABALU, 31 Julai – Siasatan insiden pelajar tingkatan satu yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabah pada 16 Julai lalu kini berada di peringkat akhir.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, setakat ini sebanyak 60 keterangan saksi membabitkan ibu bapa, pelajar dan pihak sekolah telah dirakam.
Katanya, siasatan turut dibantu pakar kaunseling berikutan beberapa saksi masih mengalami trauma.
“Kita mengambil sedikit masa untuk menyiapkan siasatan ini kerana saksi-saksi terdiri daripada pelajar yang hanya melihat, mendengar atau berkawan dengan mangsa. Jika siasatan dijalankan secara tidak profesional, ia boleh menambahkan lagi trauma mereka terhadap situasi ini,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.