KUALA LUMPUR, 10 Julai -Unit Banglo, kondominium, premis pejabat, lot tanah dan kelab golf di sekitar Lembah Klang antara hartanah yang disita susulan siasatan Op Fibre, oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kesemua sitaan itu dianggarkan bernilai lebih RM620 juta.
Siasatan menyeluruh itu melibatkan kelulusan pembiayaan pinjaman institusi perbankan kepada sebuah syarikat yang menjalankan projek pembangunan rangkaian fibre pada tahun 2012 bernilai kira-kira RM400 juta.
Menurut sumber SPRM, setakat ini pihaknya telah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu siasatan.
Hartanah yang terletak di sekitar Lembah Klang itu dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek yang juga dipercayai pemegang saham dalam kelab golf berkenaan.
Empat unit kenderaan mewah bernilai kira-kira RM2 juta turut disita.
"Sehingga kini, SPRM juga membekukan sebanyak 72 akaun yang meliputi akaun persendirian dan syarikat berjumlah melibatkan nilai kira-kira RM390,000," katanya.
Pada 30 Jun lalu, seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Wira ditahan reman kerana disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut dan berkata, notis Pengisytiharan Harta di bawah S.36(1) Akta SPRM 2009 akan diserahkan kepada suspek dan 23 individu mulai 10 Julai 2025.