fb fb fb fb fb

SPRM bongkar sindiket bawa masuk warga asing

Foto SPRM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan serta Nepal melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan dipercayai turut didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur yang telah ditetapkan menerusi modus operandi ‘counter setting’.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata kegiatan sindiket berkenaan terbongkar susulan penahanan 12 individu membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an menerusi Op Pump yang dijalankan SPRM di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Katanya, mereka yang ditahan itu membabitkan empat pemilik syarikat dan tiga orang awam yang dipercayai mempunyai peranan masing-masing bagi menguruskan kemasukan warga asing berkenaan serta lima penguat kuasa yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

"Tangkapan yang dilakukan susulan risikan yang dijalankan SPRM sejak tahun 2022 terhadap kegiatan sindiket ini yang bersekongkol dengan pegawai-pegawai sebuah agensi penguat kuasa.

"Sindiket ini dipercayai telah meraih keuntungan jutaan ringgit dan siasatan dijalankan mengesan terdapat kemasukan wang berjumlah lebih RM4 juta dari tahun 2022 hingga 2024 dipercayai bagi urusan kemasukan warga asing yang turut diagih-agihkan kepada penguat kuasa terlibat," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Azam, modus operandi kegiatan sindiket tersebut ialah dengan bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk negara yang sedia menunggu di beberapa kaunter tertentu bagi memudahkan kemasukan kumpulan warga asing berkenaan.

Katanya, kumpulan warga asing yang ingin masuk ke negara ini akan menghubungi ejen berkenaan yang bertindak akan menguruskan tiket penerbangan termasuk urusan dengan penguat kuasa terlibat.

"Ejen berkenaan akan memberikan maklumat kumpulan warga asing terbabit kepada penguat kuasa yang sudah menunggu di kaunter tertentu dan pada masa yang sama akan memaklumkan kepada warga asing terbabit untuk pergi ke kaunter terbabit sebaik tiba di negara ini bagi membolehkan mereka dilepaskan tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya.

"Sebaik melepasi kaunter khas berkenaan, kumpulan warga asing terbabit akan diambil oleh wakil ejen yang berperanan membawa mereka keluar ke destinasi tertentu," katanya.

Beliau berkata, kumpulan warga asing ini sepatutnya melalui pemeriksaan berdasarkan Pekeliling Imigresen Bilangan 4 Tahun 2021 iaitu dengan mengemukakan pasport atau dokumen yang sah, mempunyai visa, mempunyai tiket perjalanan pergi balik yang sah, mempunyai wang sara diri mencukupi sepanjang berada di negara, perlu menunjukkan alamat penginapan namun, menerusi kaunter khas itu, mereka telah diberi pelepasan tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi proses permohonan reman.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN