fb fb fb fb fb

Ops Selera: 11 pekerja asing ditahan

Antara pengendali makanan warga asing yang dicekup menerusi Ops Selera di medan selera di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya di sini, semalam/ FB Jabatan Imigresen Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 21 Ogos - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan 11 pekerja asing menerusi Ops Selera di medan selera di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya di sini, semalam.

Jabatan itu memaklumkan sebanyak 27 pengendali makanan diperiksa sebelum 11 pekerja berusia 25 hingga 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk melanggar syarat pas dengan bekerja di sektor berlainan daripada kelulusan yang diberikan.

"Mereka terdiri daripada enam lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki Nepal serta seorang lelaki dan seorang wanita Indonesia.

"Kesemua mereka ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 untuk siasatan lanjut dan tindakan jabatan," menurut JIM menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

JIM Pulau Pinang berkata siasatan akan turut dijalankan ke atas pemilik perniagaan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI