KOTA BHARU, 21 Ogos- Polis Kelantan melupuskan dadah bernilai lebih RM89 juta membabitkan rampasan sejak 1997 sehingga tahun ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dadah itu dilupuskan selepas melalui proses di mahkamah dan mendapat arahan dilupuskan.
Katanya, rampasan termasuk pil kuda, syabu, heroin dan kanabis yang bernilai lebih RM89 juta.
"Pelupusan barang kes ini dilakukan oleh Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan mengikut perintah Ketua Polis Negara.
"Jadi ini untuk tahun ini yang pertama, tahun lalu kita ada juga buat pelupusan ini dan ia satu proses yang rapi dibuat di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan," katanya pada sidang media di program Pelupusan Barang Kes Dadah Kontinjen Kelantan di IPK Kelantan, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Muhamad Zaki berkata, sepanjang tempoh Januari sehingga Julai tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menangkap seramai 17, 694 orang atas pelbagai kesalahan dadah.
Ujarnya, menerusi tangkapan berkenaan, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM10 juta.
Pihaknya juga telah menyita aset sebanyak RM3 juta dan seramai 68 pengedar dadah diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.