fb fb fb fb fb

Lelaki cederakan isteri, diarah lakukan pemeriksaan mental

Foto hiasan

KEMAMAN, 20 Ogos- Seorang lelaki yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya diarahkan menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
 
Perintah berkenaan dikeluarkan hakim Wan Suhaila Mohd terhadap Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 46 tahun yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Wan Suhaila membuat keputusan itu selepas permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Noorinda agar tertuduh menjalani pemeriksaan mental.
 
Perkara itu susulan lelaki berkenaan mempunyai rekod psikiatri dan pernah mendapat rawatan sebelum ini namun telah berhenti menerima rawatan pada Mei tahun lalu.
 
Mengikut pertuduhan, Ahmad Nor didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 43 tahun pada bahagian kepala, pipi, tangan dan belakang badan dengan menggunakan tangan dan kaki.
 
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira pukul 5.52 petang pada 16 Ogos lalu di Kampung Tanjung, Bukit Mentok, Chukai, Kemaman.
 
Kesalahan itu dilakukan tertuduh bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama bawah Seksyen 326A kanun yang sama.
 
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya.
 
Bagaimanapun hakim Wan Suhaila mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Tanjung Rambutan, Perak dan menetapkan sebutan semula kes 23 September depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI