fb fb fb fb fb

Sogokan RM500, Penyelia dan ejen kilang ais ditahan reman

Foto RTM

SEREMBAN, 31 Januari -Seorang penyelia kilang ais dan ejennya direman selama tujuh hari kerana disyaki menawar dan memberikan rasuah sebanyak RM500 kepada penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 20 dan 40-an tersebut  dikeluarkan Majistret, Fairuz Syuhada Amran selepas permohonan dibuat Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahya di Mahkamah Majistret Seremban.

Menurut sumber, suspek masing-masing telah ditahan Selasa lalu kira-kira pukul 5.30 petang dan pukul 8.50 malam ketika hadir di Pejabat SPRM Cawangan Port Dickson.

Berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek melakukan kesalahan tersebut bagi mengelakkan pemandu lori kilang ais yang telah ditahan oleh pegawai JPJ daripada dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Ia berkaitan kesalahan tiada lesen memandu (CDL), tiada lesen vokasional (GDL) dan LKM tamat tempoh.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan, penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD